Tuesday, January 09, 2007

Rakan Pena

Rakan Pena


Berapa ramai daripada kita yg ada rakan pena? Atau mungkin tahu sesiapa yg mempunyai rakan pena. Zaman sekarang, mungkin kita tak boleh lagi panggil rakan pena sebabnya kita sedang melalui zaman IT. Mungkin rakan email, chat atau sms. Atau mungkin juga tak lama lagi kita akan ada rakan podcast atau video conference. Manalah tahu. Tapi, rakan pena atau penpal, masih lagi ada dalam kamus cerita hidup kita.

Masih aku ingat, suatu ketika, aku baca Dewan Pelajar keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Satu bulan akan keluarlah lebih kurang 10 org rakan pena baru. Dengan alamat, umur dan sekolah di mana. Aku tak pasti sama ada aku ada rakan pena atau tidak. Mungkin, kalau aku pernah pun, rasanya tak lama. Aku lupa. (Arrghhh keyboard baru aku tak best la pulak!).

Masa kecik-kecik, manalah kita tahu apa tujuan rakan pena. Tapi cikgu kata, rakan pena boleh buat kita belajar untuk menulis surat dan juga belajar mengenai orang lain dan persekitaran mereka. Jadi, ramailah yg ada rakan pena. Tapi, walaupun kecil, ada juga yg kecil cili padi! Dan mungkin, ada sesetengah dari kita, yg jodohnya sampai melalui pena mereka.

Rakan pena? Ya, caranya ialah dengan menulis menggunakan pena untuk mengarang surat tersebut. Namun, zaman sekarang, kita tidak lagi banyak menulis. Kalau ada pun, mungkin untuk mengisi borang dan sebagainya. Kita mula menaip. Dari Dewan Pelajar dan Variasari, kita beralih ke zaman IT. Kini ada friendster, myspace dan yahoo 360. Tak kurang juga rakan pena untuk tujuan xxx!!!. Jadi...


Tugasan

Sekarang, aku ada tugasan untuk korang semua. Bayangkan diri kita sekarang berada di zaman kegemilangan rakan pena. Dapatkan mana2 nama atau reka sendiri info yg kita dapat untuk mencari rakan pena baru. Corak penulisan haruslah mengikut corak penulisan rakan pena yg lama. Jangan gunakan terlalu banyak penggunaan bahasa shortcut zaman sekarang. Dan surat ini hendaklah surat pertama kepada sipolan-sipolan terbabit. Tujuannya adalah untuk berkenalan sebagai rakan pena. Gunakan idea-idea yang menarik untuk menulis surat tersebut agar bakal rakan pena kita berminat untuk berkenalan semula dengan diri kita. Surat hendaklah tidak lebih dari 2ms word. Mulakan...



02-3 Blok 2,
Kawasan Perumahan Murah Seri Mesra
Jalan Danau Rimba
43200 Serdang
Selangor

08 Januari 2007



Cik Mariam,

Kehadapan Cik Mariam yang berada di Kajang. Di harap saudari berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya di samping keluarga yang tersayang. Saya, Robert Jr, berasal dari Serdang ingin berkenalan dengan saudari yang comel molek.

Maaf jika surat ini mengganggu saudari buat seketika. Buat pengetahuan Cik Mariam, saya mendapat alamat saudari dari friendster rakan saya. Setelah mengambil kira pelbagai faktor, saya berkenan untuk memanjangkan lagi persahabatan maya kita menjadi rakan pena. Diharap saudari sudi meluangkan masa untuk membaca surat saya ini.

Setelah saya membuka laman friendster kawan saya, Si Jamal dan kemudiannnya saya membuka laman kawannya pula. Iaitu kawan saudari, Aliyah, saya berkenan apabila melihat gambar saudari di laman web friendster Aliyah tersebut. Sudah seminggu, saya cuba untuk menambah saudari ke dalam kalangan kawan-kawan saya. Namun, apa yang saya tahu, saudari sudah lama tidak aktif. Mungkin, rumah saudari tiada internet dirumah akibat tidak membayar bil telekom seperti saya atau mungkin juga pejabat saudari tidak boleh membuka friendster akibat penyalahgunaan internet disana. Atau mungkin juga disebabkan keadaan internet yang sangat perlahan sekarang ini yang membuat saudari tidak berminat untuk masuk ke dalam friendster akibat terlalu lama menunggu untuk memuat turun laman web tersebut. Tak apalah, sekurang-kurangnya patut saudari ketahui yang saya mendapat alamat saudari dari situ. Maafkan saya jika saya mencuri alamat saudari seperti mana saya ingin mencuri hati saudari.


Saudari adalah orang pertama yang bertuah mendapat surat dari saya. Sebelum ini, saya lebih suka untuk menghubungi kawan-kawan yang lain dengan menggunakan email. Malangnya, mereka tidak membalas email saya. Ada pula yang tidak muncul bila kami membuat temu janji di taman KLCC. Entahlah, mungkin mereka tak nampak baju merah pekat yang saya pakai pada hari-hari tersebut. Oleh kerana email jarang diberikan perhatian maka saya memilih untuk menggunakan cara lama khas untuk Cik Mariam. Buat pengetahuan saudari, saudari adalah orang yang pertama mendapat surat bertulis tangan dari saya ini. Tapi, janganlah malu ya?


Cik Mariam yang dihormati. Saya harap surat ini sampai ke tangan saudari dengan selamatnya. Namun saya adakalanya bimbang jika-jika surat ini dibaca oleh ayah saudari. Kerana pada pendapat saya, surat bertulis tangan ini tidak seselamat email. Mungkin kita tidak memerlukan kata kunci atau kata nama untuk membukanya. Cukup sekadar mengoyakkan hujung sampul surat ini. Namun, jika surat ini telah dibuka oleh ibu atau terutamanya ayah saudari yang nampak agak garang, sampaikan salam maaf dari saya kepada mereka. Adapun tujuan saya adalah ikhlas dan jujur untuk berkenalan dengan saudari adanya.

Sebagai permulaan, biarlah saya perkenalkan diri saya. Mungkin, apa yang ada di dalam friendster saya itu masih lagi tidak mencukupi untuk saudari mengenali diri saya. Mungkin saudari perlu tinjau blog saya di lepatkuning.blgspot.com. Disitu saudari akan lebih mengetahui banyak mengenai diri saya. Biarlah saya mulakan dahulu.

Nama betul saya Ramli bin Johari. Tapi, kawan-kawan saya panggil saya Robert Jr. Entahlah kenapa mereka panggil saya begitu. Tak pula saya ketahui yang saya mempunyai keturunan dari bangsa asing atau sebagainya. Saya berasal dari Johor. Tapi sudah lama menetap di Serdang. Saya mendapat tahu, saudari bekerja sebagai Manager di syarikat asing. Nampaknya, kerjaya kita tidak jauh bezanya. Saya pula bekerja di syarikat membuat kicap di puchong. Disamping itu, saya juga bekerja sambilan sebagai Rela untuk operasi buruh asing. Nampak, tiada jauh bezanya bukan?

Saya mempunyai 4 orang adik beradik. Saya adalah anak ke-2. Akak pertama saya kini menetap di Filipina sebagai agen insuran kerana mengikut suaminya yang pernah bekerja di syarikat pembinaan di ibu kota. Adik ke-3 pula sedang melanjutkan pelajaran Akademi Anti-Dadah Malaysia. Entahlah, mak kata, sejak adik diambil berkursus oleh agen antidadah, sudah 2 kali raya dia tidak balik kerumah. Manakala adik bongsu saya pula baru saja meninggal akibat pendarahan otak akibat terlebih mengambil dadah. Jangan risau, saya tidak menggunakan kesemua barang terlarang tadi. Jangan risau, dari kecil kami dinasihatkan mak, 'dadah itu musuh negara'. Jadi, telah terpahat dalam otak saya ini yang dadah itu adalah musuh negara. Tidak pula saya dan adik beradik yang lain ingin memusuhi dadah tadi.

Mak dan ayah telah lama bercerai. Kami duduk dengan mak kami disini. Ayah telah lama menghilangkan diri. Kata mak, ayah hilang tak lama selepas mak melahirkan adik. Katanya, ayah terpikat dengan minah indon yang menjadi cleaner di kilang hadapan rumah kami. Mak pula sekarang merupakan suri rumah sepenuh masa. Namun, adakalanya, mak menganyam tikar dari daun mengkuang yang mak dapat dari kampung datuk sebelah ayah kami di Klang. Walaupun hidup kami tidak semewah saudari, kami tetap gembira.

Oh ya, lupa saya ceritakan pada saudari mengenai kerjaya saya. Pada siang hari, saya bekerja di kilang kicap tidak berjauhan dengan pekan Serdang. Tugas saya tidaklah susah kalau dibandingkan tugas saudari rasanya. Apa yang saya perlu lakukan, ialah melihat pada botol-botol yang lalu di conveyer di hadapan saya. Lihat dengan sebaik mungkin, sama ada botol-botol tersebut dalam keadaan yang baik atau tidak. Walaupun conveyer tadi bergerak dengan agak laju, saya masih lagi mampu untuk memerhatikan botol-botol dengan baik. Cuma adakalanya jika saya terbersin atau terbatuk, saya gagal untuk menumpukan perhatian dengan sepenuhnya. Waktu rehat, saya akan pergi rehat bersama Muthu dan juga Ahrkem yang berasal dari Nepal. Walaupun, kami tidak ada minum petang, namun, saya akan mengarahkan salah seorang dari buruh asing di tempat saya untuk membelikan saya sesuatu untuk kami bertiga. Bukan tujuan saya untuk membuli pekerja asing sebenarnya.

Tugas sambilan saya pula ialah menjadi rela. Bila khidmad kami diperlukan, saya akan bersiap-siap sekitar pukul 9 malam. Tapi bergantung juga kepada operasi. Contohnya, kalau tidak silap saya. Ketika bahagian saya diarahkan untuk menyerbu sebuah syarikat asing (kalau tidak silap saya, namanya seakan-akan nama syarikat saudari), saya kena bersedia lebih awal. Kerana kami tahu, boss-boss disyarikat sebegini akan balik awal. Jadi pada hari tersebut kami menyerbu selepas waktu magrib. Ketika itu, warga bangladesh dan indonesia di syarikat tadi, masih lagi duduk melepak sambil menghisap kretek selepas sembahyang maghrib. Jadi, serbuan kami pada hari itu amat berjaya. Saya berbangga menjadi rela kerana kepuasan mengejar dan membelasah pendatang asing yang semakin hari semakin berleluasa sehingga menjadikan kompleks kotaraya dan bandar klang sebagai bandar kelahiran mereka.

Rasanya cukup sudah cerita saya mengenai diri saya. Saya harap, saudari Mariam dapat menceritakan mengenai serba sedikit diri saudari. Saya amat berharap jika saudari sudi menghantarkan foto diri saudari sekali. Al-maklumlah, saya lihat gambar saudari di friendster sangat cantik dan comel. Bolehkan kalau saya minta satu?

Mungkin ini hanya permulaan bagi persahabatan pena ini. Semoga persahabatan ini terus berkembang hendaknya. Mungkin suatu hari nanti saya dapat mengajak saudari keluarga bersiar-siar di Putrajaya atau zoo Negara. Jangan saudari takutkan jika saudari tidak mempunyai pengangkutan. Saya akan jemput saudari di rumah saudari. Di rumah saya masih lagi helmet lebih untuk membawa mak ke pasar pada hujung minggu. Oh ya, motor saya juga ada bonet yang membolehkan saudari bersandar jika saudari sakit pinggang. Semoga perkenalan ini membawa kejinjang pelamin hendaknya.

Sampai suatu masa nanti. Saya doakan saudari sentiasa berjaya dan gembira hendaknya. Di harap, saudari juga dapat bekerja dengan lebih tekun agar suatu masa nanti saudari berjaya merampas syarikat saudari ini dari boss saudari. Sehingga berjumpa sekali lagi, salam mesra dari saya, Robert.



Yang tulus dan ikhlas


Robert Jr (Ramli Johari)



Ok ke kalau suratnya macam ni? Serius ni, aku nak tanya, ok ke? Kalau ok, aku nak taip surat yang lebih kurang sama pada bakal rakan pena aku ni. Berikan komen anda nanti ya. Sampai jumpa lagi. Tata...

2 comments:

Anonymous said...

Gentle la beb.

Sampai bila nak remain anonymous.

Kata nak langsung bulan 7 ni, so move fast.

Tak main dah surat2 skang nih. Lambat!!

bzz said...

Be different...

Maybe... Nyeh nyeh nyeh...

Post a Comment

About me

My photo
Between Reality and Fantasy...