Wednesday, May 10, 2006

Melayu? Apa akan jadi pada KITA nanti? (V1.0)

Bagi yang kenal aku, aku adalah orang yang suka cakap ikut gerak hati. Aku nak cakap, aku akan cakap. Selalunya aku tak kisah pada apa yang orang lain akan kata. Yang penting, aku dah katakan pendapat dan sampaikan apa yang ada dalam hati aku. Dari sudut pemikiran aku yang ‘cetek’, aku tahu, ramai yang akan tak bersetuju dengan pandangan aku. Ingat, pendapat aku bukan untuk dipersetujui oleh orang lain, malah aku tak minta pun untuk orang lain bersetuju. Fikirkan dan hayati padangan aku ini...


MEMBAZIR ATAU MEMBINA?

Petikan dari kata-kata Pak Lah;
"Never mind that I may not build great monuments or glittering cities. What is important to me is that what we do today, what we change today, will enable us to succeed now and far into the future," - Abdullah Badawi


Bila kita baca petikan ini, ia semacam satu sindiran Pak Lah pada Dr Mahathir. Semua tahu, bagaimana Dr M (TDM) membelanjakan wang yang besar. Projek mega sana, projek mega sini. Dari lebuhraya plus, Bakun, landasan keretapi berkembar, Putrajaya, Cyberjaya, KLCC, KLIA, Proton, kompleks sukan dan banyak lagi. Tapi kadang-kadang kita perlu tanya, adakah apa yang dilakukan itu membazir? Atau ianya bertujuan untuk membina bangsa kita? Mungkin Pak Lah ada pendapat dan cara pentadbiran ekonomi yang berlainan. Tak apalah. Tapi, perlukah kita memperlahankan langkah kita untuk terus mengejar arus perjalanan dunia? Adakah dengan cara ini kita akan semakin terkebelakang? Adakah berhenti dari membina sesuatu yang besar membolehkan kita terus survive?

Memang betul, menabung dan berjimat itu baik. Tapi ia tidak semestinya berkesan. Pernah kita dengar orang yang menabung itu menjadi kaya? Sejak kebelakangan ini, kita selalu dengar, Rizab Simpanan negara kita semakin meningkat. Baguslah, kalau kita menyimpan. Mungkin kita akan perlukannya 2-3 tahun akan datang bila ekonomi dunia merundum. Tapi, bolehkah kita katakan yang ekonomi Malaysia semakin baik semata-mata simpanan negara meningkat? Adakah kita hitung ekonomi kita hanya dengan melihat saham di BSKL? Kalau saham dijadikan pengukur, bagaimana bagi peniaga yang tiada syarikat yang besar? Bagaimana pula rakyat biasa yang bekerja di syarikat kecil? Mungkin aku perlu tanya, apa pula kaitannya BSKL dan rizab tadi dengan ekonomi makro di Malaysia? (ekonomi makro ialah ekonomi yang berkaitan dalam negara)

Bila kerajaan berjimat, ini bermakna, lebih banyak duit yang disimpan. Maka jika ekonomi Malaysia jatuh, kita ada duit simpanan yang boleh menampung masalah ekonomi kita. Tapi masalahnya, duit tidak dibelanjakan tidak akan terapung dipasaran. Bila nilai duit kita yang cair tadi tidak terapung, kadar pusingan duit dalam negara agak berkurangan. Tiada projek besar, maka tiadalah banyak projek dan perniagaan kecil. Tiada kontraktor kelas A, subkontraktor tak boleh cari makan. Jadi kita akan dengar, kontraktor tak ada projek, penjual kereta tersepit, syarikat VSS, syarikat tak dapat jualan. Sebab itu aku dari dulu kata, kalau penjimatan duit dari subsidi minyak digunakan dengan betul, hasilnya lebih besar!

Untuk senangkan sesiapa yang tak paham pusingan duit yang aku katakan, aku buat contoh mudah. Aku menyimpan RM1000 dlm ASB selama setahun dan dapat pulangan RM 90 dari dividen. 9%. Banyak juga kalau menyimpan ni. Dividen simpanan yang lain lebih rendah. Tapi aku pilih cara lain iaitu untuk gunakan duit RM 1000 tadi untuk dimodalkan untuk membeli perkakasan komputer. Kemudian aku jual pada margin keuntungan 12%. Berapa yang akan aku dapat? RM 120. Itu mungkin hanya bagi satu komputer. Bagaimana kalau aku mampu membina 20 buah komputer dalam masa 1 tahun? Darabkan saja. Mungkin ada orang kata (terutamanya orang melayu), berniaga boleh rugi. Kalau kita tak tahu, mungkinlah berniaga membuat kita rugi, tapi kalau kita tahu caranya, bukan saja kita untung, malah kita juga bawa kebaikan pada orang lain. Aku tak kata kaya, tapi untung! Ingat, menyimpan di ASB hanya menguntungkan PNB dan syarikat yang memerlukan modal. Tapi bila kita niagakan, kita beri keuntungan pada diri kita, kedai komputer, pembekal malah pembeli. Dan mereka juga turut sama menggerakkan duit tadi di pasaran. (Pendapatan dividen pun perlu mengambilkira inflasi semasa)


Jadi samalah dengan projek mega. Kalau kita perhatikan, Dr M tak bina tugu beratus juta ringgit. Tak bina resort yang berbilion ringgit. Yang dia bina, hanyalah yang aku sebutkan tadi. Setiap satu memakan belanja yang sangat besar. Jadi, secara malasnya aku ingin tanya, berapa banyak pihakkah yang terlibat. Berapa ramai rakyatkah yang menikmati peluang pekerjaan? Mungkin, kerajaan keluar duit berbilion, tapi, kerajaan dapat hasil dari cukai syarikat, cukai pekerja, pusingan duit dan kemakmuran sebab rakyat mampu berbelanja tanpa perlu fikir, “Esok dah tak ada projek, mana lagi kita mahu kerja?”. Kalau pemimpin pandai membelanjakan wang rakyat, rakyat yang akan mendapat faedahnya. Begitu juga dengan keturunan kita semua.



BLR - Base Lending Rate

Kalau kita perhatikan, kadar BLR (Base Lending Rate) semakin meningkat. Dari 6.0% kepada 6.25%, kemudiannya menjadi 6.5%. Baru-baru ini naik lagi menjadi 6.75%. Baguslah BLR naik, rakyat mungkin boleh menyimpan akibat dari kenaikan yang sama bagi kadar dividen simpanan. Tapi, berapa ramai yang akan berbuat demikian? Perasan tak? Harga kereta turun menjunam. Tapi tak ada orang beli? Kenapa? Kadar faedah yang tinggi. Apa gunanya kereta yang murah, tapi kita bayar pada kadar yang lebih tinggi dalam tempoh masa yang panjang? Itu belum lagi dikira pada sesiapa yang membeli rumah. Yang nak meminjam untuk ASB pun terpaksa berfikir 10 kali. Ya lah, kadar faedah sama saja dengan dividen.

Bila kadar faedah naik, peniaga terpaksa tanggung kos yang lebih. Kos itu, ini semakin naik, maka jalan mudah, pindahkan kos kepada pembeli. Pembeli yang tiada pilihan (untungnya kalau aku menjual lebih banyak komputer), terpaksa membeli pada harga yang lebih tinggi. Jadi, tak gunalah ada kadar dividen yang tinggi kalau pengguna terpaksa berbelanja lebih. Mereka masih lagi tak menyimpan. BLR yang asyik meningkat, membuat rakyat lebih teragak-agak untuk berbelanja. Bila rakyat tak berbelanja, ekonomi kurang efektif. Jadi mana betulnya berjimat tadi?


Jadi, seperti yang aku katakan pada 2 contoh di atas, kalau kita jimat tak kena tempat, duit kita kekal di takuk lama. Tidak berkembang. Dan kita mungkin perlu berbelanja lebih. Jadi Pak Lah, persoalannya, adakah perlu untuk kita berbelanja. Perlu! Cuma, yang perlu dilakukan ialah ajar rakyat seperti kami ini supaya berbelanja dengan lebih berhemah. Banyakkan juga perbelanjaan yang membina, lebih lagi dalam membina peluang untuk meningkatkan lagi perbelanjaan dan pendapatan rakyat. Ia bukan sesuatu yang merugikan untuk berbelanja besar, kalau duit yang kita belanjakan tadi, boleh menampung hingga berpuluh generasi lamanya. Kalau kita takut untuk rugi, maka kita tak akan untung. Ingatlah, orang melayu lebih ramai membeli dari menjual. Dan yang lebih rugi nanti adalah kita, orang melayu.

Cukup dulu pandangan aku hari ini. Isu duit belum habis. Aku akan sambung lagi. Perlu diingat, aku bukan mengutuk Pak Lah apatah lagi merendahkannya. Aku harap dan berdoa dia lebih ‘bersabar’ bila membuat keputusan. Jangan terlalu ikutkan kata orang. Pak Lah, mungkin rakyat sokong dalam pilihanraya dengan mandat yang besar, tapi apa gunanya kalau orang melayu semakin susah suatu masa nanti. Fikirkanlah kami yang dibawah… Fikirkanlah, apa akan jadi kalau suatu masa nanti keturunan kita memaki akibat ‘kelemahan’ kita.

Note : Pandangan aku sebagai ahli UMNO biasa sempena ulang tahun ke 60 penubuhan UMNO. Hidup Melayu…

2 comments:

Anonymous said...

alaaa... citer pasal duit ke? iskkk...

bzz said...

Realiti kan?

Post a Comment

About me

My photo
Between Reality and Fantasy...